Friday, 2 June 2017

PERATURAN 3: AHLI KESATUAN


Peraturan 3 Ahli Kesatuan telah menyatakan bahawa :

1) Keanggotaan Kesatuan ini terbuka kepada Pegawai-pegawai Kanan RISDA yang digaji oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kecuali mereka yang memegang jawatan pengurusan, eksekutif, sulit atau keselamatan. Pekerja-pekerja itu hendaklah berumur lebih dari 16 tahun dan mempunyai tempat kerjanya di Semenanjung Malaysia tertakluk kepada syarat bahawa seseorang yang diuntukkan pendidikan dalam sesuatu sekolah, politeknik, kolej, universiti, kolej universiti atau institusi lain yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis tidak boleh menjadi ahli Kesatuan kecuali jika sekiranya ia:
a) Sebenarnya seorang pekerja menurut takrif dalam akta Kesatuan Sekerja 1959 dan
b) berumur lebih dari 18 tahun.

2) Permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dilakukan dengan mengisi borang yang ditentukan oleh Kesatuan dan menyampaikannya kepada Setiausaha. Setiausaha hendaklah mengemukakan permohonan itu kepada Majlis Jawatankuasa Kerja untuk kelulusan. Majlis Jawatankuasa Kerja boleh menolak sebarang permohonan untuk menjadi ahli mengikut budibicaranya tanpa memberi sebarang alasan.

3) Setelah permohonan seseorang itu diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja dan Yuran Masuk serta yuran bulanan yang pertama dijelaskan maka namanya hendaklah didaftarkan dalam daftar ahli /yuran sebagai ahli.

4) Seseorang ahli hendaklah diberikan senaskah buku Peraturan-peraturan Kesatuan dengan percuma apabila diterima sebagai ahli.

5) Seseorang yang diterima masuk menjadi ahli dan kemudiannya berhenti daripada tempat kerjanya, tred atau industri seperti yang dinyatakan dalam peratura 3 (1) akan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Kesatuan. Namanya hendaklah dikeluarkan daripada daftar ahli / yuran tertakluk kepada peruntukan berkenaan di bawah Peraturan Tambahan Tabung Wang Kebajikan (Jika ada).
TAHUKAH ANDA KEAHLIAN KPKR ADALAH SEHINGGA GRED 44?

Pada masa ini KPKR boleh dianggotai mulai daripada GRED 27 sehingga GRED 44. Walaubagaimanapun, ahli GRED 41 ke atas TIDAK BOLEH memegang apa-apa jawatan di dalam Kesatuan (Tetapi tidaklah menjejaskan apa-apa haknya sebagai ahli).

KRONOLOGI:

Bermula November 1981 apabila pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 diluluskan, isu keahlian Pegawai Kumpulan A dalam KPKR menjadi tanda tanya kepada semua ahlinya. Walaubagaimanapun, dimaklumkan pada ketika itu KPKR dikatakan tidak tersenarai Kesatuan-kesatuan Pegawai Kanan yang disemak oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) dengan hal demikian, KPKR terus mekar diterajui dan diaktifkan oleh semua ahlinya tidak mengira gred mahupun kumpulan. Sepanjang tempoh itu pentadbiran KPKR telah bekerjasama secara terus dengan pihak pengurusan dalam memastikan kebajikan ahli-ahli KPKR terjamin sepanjang perkhidmatan dengan pihak RISDA.

Namun, pada tahun 2009 JHEKS melalui surat bertarikh 16 Julai 2009 mendapati Pegawai-pegawai KPKR yang telah dilantik merupakan pegawai kumpulan A ( Gred 41 ke atas). Sejak itu respon surat demi surat telah dikeluarkan oleh pihak JHEKS dan BPSM bagi mendapatkan keterangan dengan lebih lanjut. Berdasarkan respon tersebut, hanya kebenaran Ketua Setiausaha Negara (KSN) sahaja dapat memberikan pengecualian kepada Pegawai Kumpulan A untuk terus menjadi ahli KPKR.

Pada 17 Februari 2010 melalui satu surat rasmi, KPKR telah mengemukakan permohonan tersebut kepada pihak KSN atas nasihat Yang Di Pertua KPKR, Y.H Dato' Mujahid setelah bertemu dengan KSN pada 6 Februari 2010.

Secara rasminya pihak KSN melalui surat bertarikh 4 Mac 2010 telah memberi respon kepada permohonan tersebut. Kandungan surat tersebut berbunyi :

" Saya telah mempertimbangkan dengan terperinci permohonan ini dan memutuskan untuk :

i. Tidak membenarkan Pegawai Kanan RISDA Gred 45 ke atas untuk menjadi ahli kesatuan ; dan

ii. Membenarkan Pegawai Kanan RISDA Gred 44 ke bawah menjadi ahli KPKR menurut Seksyen 27(3)(aa)(i) Akta Kesatuan Sekerja 1959 dengan syarat mereka tidak memegang jawatan yang :

(a) boleh mempengaruhi dasar di RISDA; atau
(b) tugasnya menyimpan dan mengetahui rahsia di RISDA; atau
(c) merupakan jawatan Ketua/ Timbalan Ketua Jabatan dan Ketua Bahagian di RISDA terutamanya mereka yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber manusia ; atau
(d) menjalankan peranan keselamatan. "


Melalui surat ini pihak KPKR telah akur dengan keputusan yang dibuat oleh pihak KSN dan menyerahkan tampuk kepimpinan Kesatuan daripada Kumpulan A kepada Kumpulan B.

No comments:

Post a Comment