Tuesday, 12 September 2017

MAKLUM BALAS MAJLIS BERSAMA JABATAN (MBJ) BIL 3/2017 (12/9/2017)

Pre Council : 11 September 2017
Tempat : Hevea 3,  Tingkat 1, Ibu Pejabat RISDA Jalan Ampang.
Pengerusi : Yang Berbahagia, En.Abdullah Bin Zainal@Deraman, 
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Koporat)
Wakil KPKR : NYDP, SU, TSU, Bendahari.

Keputusan Pre Council : 7 isu dibawa 7 isu diterima dengan pindaan.
 
MBJ Bil 3/2017 : 12 September 2017 
Tempat : Tingkat 13, Ibu Pejabat RISDA Jalan Ampang.
 Pengerusi : Yang Berbahagia Dato Wan Ahmad Shaberi Zainuddin Bin Wan Mohamad, 
Ketua Pengarah RISDA, 
Wakil KPKR : YDP, NYDP, SU, TSU, Bendahari.

A) UCAPAN YANG DIPERTUA KPKR

Kesatuan Pegawai Kanan merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengurusan RISDA kerana berjaya mengadakan MBJ Kali 3/2017. Dikesempatan ini juga KPKR mengucapkan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato Wan Ahmad Shaberi Zainuddin Bin Wan Mohamad, Ketua Pengarah RISDA, En.Abdullah Bin Zainal @ Deraman, Timbalan Ketua Pengarah RISDA (Pengurusan dan Koporat) dan En. Nasarudin Bin Malek, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) kerana menerajui RISDA pada masa ini.

Ucapan terima kasih juga dipanjangkan kepada Pihak Pengurusan terutamanya Bahagian Latihan dan Bahagian Pentadbiran di atas kebenaran, kerjasama dan sokongan dalam menjayakan Bengkel Memperkasakan Perkhidmatan RISDA untuk ahli-ahli KPKR baru-baru ini.

B) MAKLUMBALAS MBJ :

1) Kursus refresher dan peningkatan imej kepada Ketua-ketua Unit dan Ketua-ketua Stesen di Pusat Tanggungjawab.

Maklumbalas : Pihak Pengurusan bersetuju untuk mengadakan semula kursus-kursus yang lebih spesifik untuk meningkatkan kemahiran kakitangan dengan kerjasama UCAM.

2) Perlantikan Timbalan Pegawai RISDA Daerah

Maklumbalas : Pihak Pengurusan bersetuju surat lantikan / surat watikah dibuat diperingkat Ibu Pejabat untuk memberi pengiktirafan kepada jawatan TPRD tetapi perlulah mendapat persetujuan daripada PRN/PRD/PRB/PRJ. Ini untuk memastikan Pegawai yang dilantik sesuai untuk menjalankan tugas tersebut. Pengerusi menegaskan, sebarang urusan pertukaran perlulah mengikut prosedur.

3) Penggunaan Teknologi Perlu dipertingkatkan

Maklumbalas : Pihak Pengurusan memohon agar sistem yang sediaada digunapakai dan teruskan membantu Pekebun Kecil. Pihak berkaitan akan melihat perkara ini dari masa ke semasa.

4) Kemudahan Pengajian Secara Sepenuh Masa atau Separuh Masa dipermudahkan.

Maklumbalas : Pihak Pengurusan menyokong kakitangan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi tetapi mestilah tidak mengganggu tugas-tugas rasmi. Terdapat kes-kes tertentu yang menunjukkan ada kakitangan yang menyalah guna masa pejabat dan kemudahan pejabat termasuk tidak menjalankan tugas rasmi kerana mengutamakan pengajian terutamanya secara PJJ. Kemudahan ini juga perlu dipohon dan pihak pengurusan akan melihat secara merit dan keperluan untuk memberi kemudahan ini kepada yang betul-betul cemerlang sahaja. Walaubagaimanapun, secara prinsipnya Pihak Pengurusan akan membantu melalui kaedah Pinjaman Mudah atau Pinjaman Boleh ubah dengan syarat mencapai CGPA yang baik. Pembiayaan pengajian secara sepenuh masa dan biasiswa untuk Ijazah Pertama tidak ada keperluan pada masa ini. 

5) Menambah kuota Umrah bagi Ahli Kesatuan yang telah berkhidmat melebihi 30 tahun.

Maklumbalas :Sebelum ini KPKR mendapat 2 kuota dan KPKR memohon dinaikkan kepada 5 kuota. Pihak Pengurusan bersetuju untuk menyemak pertambahan ini dari segi implikasi kewangan. Buat masa ini Pihak Pengurusan bersetuju untuk memberi tambahan kuota kepada 3 orang daripada 2 orang sebelum ini.

6) Mengkaji Pertukaran Kakitangan Yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Maklumbalas : Pihak Pengurusan memahami keluh kesah kakitangan yang berasal daripada Semenanjung yang memohon pertukaran balik. Perkara ini telah diambil tindakan dengan membuat pengambilan anak-anak Sabah dan Sarawak agar proses pertukaran ini berjalan lancar tanpa menjejaskan operasi RISDA di Sabah dan Sarawak. Kakitangan yang telah bertugas melebihi 5 tahun akan diberi keutamaan manakala yang melebihi 7 tahun akan diberi pertimbangan awal tertakluk kepada kekosongan. Pengambilan kakitangan baru juga akan diseimbangkan dimana anak-anak Sabah dan Sarawak akan bertugas di Semenanjung terlebih dahulu dan anak-anak Semenanjung akan bertugas di Sabah dan Sarawak terlebih dahulu bagi memberi lebih fleksibiliti kepada Pihak PSM pada masa akan datang.

7) Memohon Slot Penerangan Kepada KPKR

Maklumbalas : Pihak Pengurusan bersetuju untuk memberi slot kepada KPKR untuk membuat penerangan kepada ahli-ahli KPKR atau Bakal Ahli melalui kursus-kursus seperti kursus Induksi. Pihak Pengurusan memahami terdapat ramai ahli Kesatuan yang berpencen tidak diganti dan Kakitangan baru tidak memahami kepentingan untuk menganggotai Kesatuan dan NGO2 kerana tiada maklumat.


C) PENUTUP :

Pengerusi memaklumkan agar semua ahli Kesatuan berada bersama-sama Pihak Pengurusan RISDA dan meningkatkan imej RISDA melalui tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Pihak Kerajaan tanpa banyak rungutan, alasan dan kritikan yang tidak membina kerana perkara-perkara negatif tidak membantu RISDA untuk maju. Pihak Pengurusan sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan sedia membantu melalui platform MBJ ini demi kemakmuran bersama. Pengerusi mengucapkan terima kasih di atas kejayaan Program Moh Ngeteh yang berlangsung pada 11 September 2017 yang dijayakan oleh semua.



NOTA :
MAKLUMBALAS INI ADALAH RUMUSAN DARIPADA MBJ BAGI TUJUAN MAKLUMAN DAN TIDAK MENGANDUNGI DETAIL PERBINCANGAN KERANA TERDAPAT SEBAHAGIAN MAKLUMAT ADALAH SULIT. SEBARANG PERTANYAAN LANJUT BOLEHLAH DIHANTAR KEPADA AJK KPKR MELALUI EMAIL, BLOG DAN WHATSAPP GROUP.








No comments:

Post a Comment